Sazali, Nicol dinobat olahragawan dan olahragawati Negara

Sazali Abd Samad

Jaguh bina badan Sazali Abd Samad muncul Olahragawan Kebangsaan buat kali keempat selepas meraih gelaran itu pada 2006, 2010 dan 2013.

Sazali adalah atlet bina badan kedua yang dipilih memenangi anugerah itu selepas Datuk Malik Noor pada 1986.

Pegawai polis berpangkat Sub Inspektor berusia 46 tahun itu, meraih gelaran Mr Universe buat kali ke-10 pada Kejohanan Bina Badan Dunia di Mumbai, India pada Disember tahun lepas.

Selain itu, Sazali juga meraih pingat emas pada Kejohanan Bina

Badan Persekutuan Bina Badan dan Fizikal Sedunia (WBPF) di Macau, tahun lepas dalam kategori 75kg.

"Saya akan terus melipat gandakan latihan dan anugerah ini menjadi pembakar semangat saya. Kejayaan ini tidak datang dengan mudah kerana ia memerlukan kesabaran dan komitmen yang tinggi dalam menjaga makanan untuk memastikan keadaan fizikal saya sihat," kata Sazali.

Ratu skuasy negara Datuk Nicol David pula mencipta rekod baharu apabila dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan buat kali ke-10 pada majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2014, Selasa.

Menerusi pencapaian itu, beliau muncul atlet negara yang paling banyak memenangi ASN sejak anugerah itu diperkenalkan pada 1966.

Atlet kelahiran Pulau Pinang itu, sebelum ini pernah dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan pada 1999, 2003, 2005, 2006, 2007, 2008, 2009, 2010 dan 2013.

Pencapaian itu juga mengatasi rekod yang dicatat dua atlet tersohor negara, Nurul Huda Abdullah dalam acara renang dan Shalin Zulkifli dalam acara boling.

Nurul Huda pernah mencipta rekod memenangi anugerah itu sebanyak lima kali berturut-turut dari 1985 hingga 1989 manakala Shalin menjulang anugerah itu pada 1994, 1996, 1997, 2001 dan 2002.

Nicol, 31, mencipta sejarah dalam arena skuasy sebagai pemain nombor satu dunia paling lama, iaitu 108 bulan sehingga kini, mempamerkan prestasi konsisten sepanjang penampilannya di pentas antarabangsa.

Antara pencapaian cemerlang beliau tahun lepas ialah meraih pingat emas Sukan Komanwel Glasgow, Scotland bagi acara perseorangan; emas acara perseorangan dan berpasukan Sukan Asia Incheon, Korea Selatan serta juara Kejohanan Dunia di Mesir.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menyampaikan anugerah kepada pemenang berupa piala, blazer dan wang tunai RM20,000 serta dua tiket penerbangan kelas perniagaan ke destinasi pilihan di Australia tajaan MAS untuk Olahragawan dan Olahragawati pada majlis itu yang berlangsung di sebuah hotel, di sini.
SHARE
  • Image
  • Image
  • Image
  • Image
  • Image
    Blogger Comment
    Facebook Comment