Chong Wei kini fokus pada Olimpik Rio


Datuk Lee Chong Wei menegaskan bahawa kekecewaan tewas di tangan Chen Long dalam final Kejohanan Dunia, Jakarta tidak mematahkan semangatnya untuk memburu satu lagi kejuaraan utama yang belum pernah dimilikinya iaitu pingat emas Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil tahun depan.

"Saya tidak akan berputus asa, saya akan sertai beberapa kejohanan lagi tahun ini dan fokus sekarang ialah untuk layak ke Sukan Olimpik tahun depan dan saya akan cuba lakukan sesuatu jika berpeluang bertemu Chen Long lagi," katanya.

Kalau selama ini Istora Senayan menjadi gelanggang bertuah buat Chong Wei yang memenangi lima gelaran Terbuka Indonesia, kali ini ia menyaksikan impiannya menjulang gelaran dunia berkubur sebaik tewas 14-21, 17-21 dalam masa 65 minit kepada Chen Long.

Walaupun Chong Wei cuba bangkit dalam set kedua, namun ketangkasan Chen Long tidak dapat disangkal oleh Chong Wei.

"Saya akui Chen Long bermain dengan luar biasa pada hari ini. Saya tidak dapat berbuat apa-apa walaupun telah lakukan yang terbaik dan mengubah rentak permainan," kata Chong Wei.

Ini mungkin penampilan terakhir Chong Wei, di Kejohanan Dunia kerana tidak mungkin beraksi pada edisi akan datang pada 2017 kerana ia tidak dipertandingkan pada tahun Sukan Olimpik dilangsungkan iaitu tahun depan.

Untuk rekod, ini adalah final kejohanan utama kelima dalam tempoh lima tahun buat Chong Wei sejak 2011 yang menyaksikannya kecundang di tangan pemain China.
Bagi Kejohanan Dunia 2011 dan 2013, dia tewas kepada Lin Dan, begitu juga di final Sukan Olimpik 2012, manakala Chen Long menjadi penghalangnya di Kejohanan Dunia 2014 dan tahun ini.

Begitupun pingat edisi 2014 ditarik balik selepas Chong Wei gagal dalam ujian doping yang menyaksikannya digantung lapan bulan.
SHARE
  • Image
  • Image
  • Image
  • Image
  • Image
    Blogger Comment
    Facebook Comment