Guna pemain naturalisasi wakil skuad Harimau Malaya 'tidak bermaruah' - Khairy


KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menyifatkan penggunaan pemain naturalisasi bagi memperkuatkan skuad Harimau Malaya adalah satu perkara yang "tidak bermaruah".

Beliau menegaskan walaupun FIFA membenarkan seseorang pemain untuk mewakili sesebuah negara selepas tinggal di negara berkenaan melebihi lima tahun, Malaysia tidak akan menggunakan pendekatan itu.

"Kalau pemain itu ada kaitan dengan (pertalian darah) Malaysia, tidak apa tetapi kalau bukan, saya tidak berapa setuju walaupun dibenarkan oleh FIFA. Tidak ada maruahlah kalau kita ambil jalan tersebut.

"Bagi saya, lebih baik kita tumpu kepada program pembangunan seperti NFDP (Program Pembangunan Bola Sepak Negara) di mana kita lahirkan pemain yang betul-betul warga Malaysia," katanya kepada pemberita selepas melancarkan pasukan ski dan luncur salji Malaysia (MSST) di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM), di sini, pada Isnin.

Isu pemain naturalisasi timbul baru-baru ini setelah skuad negara berjaya mengikat gergasi Liga Perdana Inggeris, Liverpool 1-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, 24 Julai lepas hasil bantuan lima pemain import yang beraksi dalam Liga Malaysia.

SHARE
  • Image
  • Image
  • Image
  • Image
  • Image
    Blogger Comment
    Facebook Comment