Siaran Piala Dunia 1982 di Taja Oleh Rakyat Malaysia

Siaran Piala Dunia 1982 di Taja Oleh Rakyat Malaysia

Piala Dunia 1982 di Sepanyol.


Skuad kebangsaan Malaysia gagal layak, sungguhpun sebelum itu dikatakan mempunyai himpunan pemain terbaik, selain pernah layak secara merit ke Sukan Olimpik 1980.

Radio Televisyen Malaysia (RTM), satu-satunya stesen penyiar pada waktu itu telah menyiarkan secara langsung Piala Dunia 1974 dan Piala Dunia 1978. Liputan siaran langsung bukanlah menyeluruh, hanya pada perlawanan tertentu sahaja.

Namun ketika Piala Dunia 1982, RTM mengumumkan, mereka hanya akan menyiarkan empat siaran langsung sahaja iaitu melibatkan perlawanan pembukaan, dua perlawanan separuh akhir dan perlawanan akhir. Lain-lain perlawanan tiada siaran langsung, hanya perlu menunggu pengumuman keputusan perlawanan di televsiyen ataupun radio.

Alasannya, faktor kos yang cukup tinggi.

Tarikh 13 Jun 1982, adalah perlawanan pembukaan Piala Dunia 1982, antara Belgium dan Argentina. Belgium melakukan kejutan, menewaskan juara bertahan yang diperkuat dengan bintang muda, Diego Maradona.

Rakyat Malaysia mula teruja. Tapi terpaksa ‘berpuasa’ dari menonton Piala Dunia 1982 memandangkan hanya di peringkat separuh akhir baharulah ada siaran langsung.

Lalu pada 14 Jun 1982, seorang ejen insurans bernama Peter Teo, pembaca setia akhbar berbahasa Inggeris, The Malay Mail, telah menelefon Hotline The Malay Mail dan mencadangkan agar setiap rakyat Malaysia menyumbang RM1 dalam satu dana atau tabung untuk membiayai kos penyiaran siaran langsung Piala Dunia 1982.

Cadangan Peter Teo itu mendapat maklum balas yang cukup memberangsangkan dan positf apabila diuar-uarkan keesokan harinya di akhbar.
Pihak RTM sendiri bersetuju dengan cadangan tersebut andai ada pihak yang sudi dan sedia menjadi pengelola.

Orang ramai mula bercakap-cakap tentang cadangan Peter Teo.

The Malay Mail kemudiannya telah melancarkan kempen People’s Live Telecast Fund (PLTF), selepas mendapat makluman dan pengesahan dari RTM tentang persetujuan pengutipan dana untuk siaran langsung Piala Dunia.

PLTF menyasarkan untuk mengumpul sejumlah RM60,000 untuk satu siaran langsung perlawanan, dan ia haruslah dikumpul secepat mungkin sebelum Piala Dunia 1982 berakhir.

Rakyat Malaysia amnya mahukan lebih banyak perlawanan yang mendapat liputan siaran langsung. Jika pada hari pelancaran PLTF pada 19 Jun, kira-kira RM228 sahaja terkumpul, jumlah tersebut bertambah dengan mendadak.

Ribuan orang perseorangan, syarikat, wakil NGO tampil dan hadir sendiri ke pejabat The Malay Mail (Balai Berita di Kuala Lumpur) untuk menyalurkan sumbangan.

Kelompok tersebut termasuklah kanak-kanak yang membawa tabung masing-masing, kakitangan kerajaan, pekerja swasta, golongan profesional, dan pesara, tidak kira bangsa, agama dan keturunan. Ada juga yang mengumpul dana di kalangan penduduk kampung dan sesama rakan, lalu dihantar wakil untuk menyampaikan sumbangan.

Jika pada 20 Jun 1982, jumlah terkumpul hanya lah RM730, ia meningkat kepada RM5,000 pada 21 Jun 1982, RM20,000 pada 22 Jun 1982, dan hampir dua kali ganda pada 23 Jun 1982, iaitu kira-kira RM40,000. Pada 23 Jun 1982, jumlah terkumpul melebihi sasaran awal, iaitu kira-kira RM66,116.45.

Setiap hari, akhbar The Malay Mail akan menyenaraikan nama-nama penderma dan penyumbang dana dan jumlah yang disalurkan, termasuklah nama Yang Di-Pertuan Agong (Sultan Ahmad Shah) dan Perdana Menteri (Dr. Mahathir bin Mohamad ) sendiri yang menyalurkan sumbangan peribadi.

Waktu itu, dana untuk satu perlawanan siaran langsung sudah mencukupi. Akhbar The Malay Mail kemudiannya membuat gesaan kepada seluruh rakyat Malaysia untuk menderma sebanyak mungkin agar nanti ianya kelak mampu menampung kos untuk dua, tiga atau lebih banyak siaran langsung.

25 Jun 1982, PLTF telah pun mengumpul kira-kira RM90,000, dengan Caltex Malaysia menyumbang sebanyak RM50,000 untuk menjadikan jumlah terkumpul sebanyak RM156,000.

Akhirnya, PLTF telah mengumpul kira-kira RM300,000, mencukupi untuk menampung kos empat penyiaran siaran langsung perlawanan Piala Dunia 1982.

England dan Jerman Barat 
Itali dan Brazil
Hasilnya, RTM dengan bantuan ‘Dana Rakyat’ berjaya untuk menyiarkan perlawanan antara England dan Jerman Barat pada 29 Jun 1982, Kesatuan Soviet menantang Poland pada 5 Julai 1982, dan dua lagi perlawanan pada 6 Julai 1982 iaitu antara Itali dan Brazil serta England dengan Sepanyol.

Campur dengan siaran langsung rasmi oleh RTM, rakyat Malaysia akhirnya dapat menikmati Piala Dunia 1982, cukup berbaloi, walaupun hanya empat perlawanan tajaan dan empat perlawanan rasmi oleh RTM.

Baki dana PLTF yang masih berbaki, digunakan untuk siaran langsung perlawanan amal UNICEF pada 7 Ogos 1982, yang melibatkan para pemain handalan dari seluruh dunia.

Dan di setiap perlawanan tersebut, tertera ayat;
‘DITAJA OLEH RAKYAT MALAYSIA’.
SHARE
  • Image
  • Image
  • Image
  • Image
  • Image
    Blogger Comment
    Facebook Comment