Rossi Bakal Tarik Diri di Litar Valencia


Pendahulu kejuaraan MotoGP Dunia, Valentino Rossi membuat kejutan dengan memberi bayangan tidak akan berlumba pada pusingan terakhir Kejuaraan Motosikal Dunia di Valencia, Sepanyol andai hukuman terhadapnya diteruskan.

Juara dunia sembilan kali itu ketika ini menunggu sama ada rayuan terhadap hukuman memulakan perlumbaan di petak paling belakang di Valencia atas kekasaran dilakukan kepada pelumba Honda, Marc Marquez di Grand Prix Malaysia, minggu lalu diteruskan atau tidak.

Penunggang Yamaha itu berkata, dia tidak mempunyai peluang untuk memenangi kejuaraan dunia MotoGP sekiranya memulakan perlumbaan di Valencia di petak terakhir.

"Hukuman itu hampir dimuktamadkan, memulakan perlumbaan di petak terakhir di Valencia menyamai tidak mempunyai sebarang peluang," kata Rossi kepada media Itali memetik laporan autosport.com.

"Kita akan lihat sama ada saya pergi (Valencia)," kata legenda Itali itu.

Ketika Grand Prix Malaysia, Ahad lalu, Rossi dikatakan menjadi punca Marquez terjatuh ketika kedua-duanya bersaing sengit namun juara dunia sembilan kali itu menafikan ia dibuat dengan sengaja. Rossi ketika ini mendahului kejuaraan dunia dengan kelebihan tujuh mata di depan rakan sepasukannya, Jorge Lorenzo dan percaya Marquez secara sengaja merosakkan peluangnya.

"Saya memberikan segala-galanya untuk memenangi gelaran ini," kata Rossi.

"Tewas di atas litar adalah satu perkara, cara seperti ini adalah lebih menyakitkan.

"Adakah ia membantu, Marquez mungkin membiarkan Lorenzo melepasinya pada pusingan terakhir (di Valencia)," kata Rossi sambil menambah pelumba muda Sepanyol itu menyimpan dendam terhadapnya atas dua insiden di Argentina dan Belanda sebelum ini. - AGENSI
SHARE
  • Image
  • Image
  • Image
  • Image
  • Image
    Blogger Comment
    Facebook Comment