Pemecatan Mourinho: Penyokong dakwa karma daripada Eva Carneiro


HARI INI, peminat bola sepak khususnya tertumpu kepada isu pemecatan pengurus Chelsea, Jose Mourinho.

Hal tersebut bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandangkan ia sudah menjadi topik perbualan hangat apatah lagi selepas kekalahan kelab berkenaan kepada Leicester baru-baru ini.

Ia sekali gus menyaksikan Chelsea terperosok ke tangga 16 dalam Liga Perdana Inggeris.

Penyokong berpendapat apa yang berlaku kepada Chelsea musim ini agak pelik dan meletakkan Mourinho sebagai punca.

Namun apa yang menarik, ramai juga yang percaya bahawa apa yang terjadi kepada Mourinho adalah balasan di atas tindakannya terhadap bekas pakar perubatan pasukan tersebut, Dr Eva Carneiro.

Ramai yang membanjiri laman sosial dengan hashtag #evacarneiro dan #evacarneirokarma.









Perbalahan antara Mourinho dan Carneiro mula tercetus awal musim 2015 selepas satu insiden di mana Carneiro memasuki padang dan merawat pemain Chelsea, Eden Hazard.

Kata Mourinho, kecederaan Hazard tidak serius dan tindakan Carneiro hanya menganggu momentum pasukan.

Insiden berkenaan menjadi pencetus kepada ketidakharmonian dalam pasukan, dengan ramai pemain termasuk Hazard menyokong Carneiro.

Beberapa laporan media menyebut Carneiro memasuki padang kerana dipanggil pengadil untuk merawat Hazard. Malah bekas pemain Chelsea, Graeme Le Saux, mengakui tindakan Carneiro itu betul memandangkan Hazard terbaring agak lama di atas padang.

"Hazard mungkin mengalami konkusi, dan dalam keadaan itu protokol tidak lagi penting," katanya.
Gara-gara ketegangan yang tercetus, Carneiro melepaskan jawatannya di Chelsea pada September lalu.

Mourinho merupakan pengurus Chelsea dari 2004 hingga 2009. Beliau kemudiannya berpindah ke Real Madrid selama tiga tahun sebelum kembali ke Chelsea pada tahun 2013.

SHARE
  • Image
  • Image
  • Image
  • Image
  • Image
    Blogger Comment
    Facebook Comment