FAM diminta kaji semula hukuman ke atas 216 pemain terlibat rasuah pada 1994


ALOR SETAR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) diminta mengkaji semula hukuman ke atas lebih 200 pemain yang terlibat dalam rasuah pada 1994 bagi membolehkan mereka mencurah bakti dalam sukan bola sepak negara.

Presiden Persatuan Bekas Pemain Bola Sepak Kedah (KEFA) Faridzul Kassim berkata dengan cara itu ia dapat memberi peluang kepada mereka untuk berbakti semula dengan persatuan atau kelab bola sepak di peringkat negeri.

Beliau mendakwa kebanyakan daripada mereka yang merupakan pemain berbakat ketika itu menyuarakan rasa tidak puas hati dengan hukuman digantung seumur hidup yang dikenakan FAM ketika itu walaupun ada juga pemain yang terlibat tetapi terlepas daripada hukuman.

"FAM perlu kaji faktor kenapa mereka berbuat demikian... Mungkin sebab mereka tidak dibayar gaji oleh persatuan bola sepak negeri ketika itu. FAM perlu tahu dan ambil berat mengenai perkara itu," ujarnya.

Faridzul yang juga bekas pemain bola sepak Kedah berkata ramai daripada pemain berkenaan yang berumur lewat 40-an hingga 50-an menyuarakan hasrat untuk membantu FAM memeriahkan sukan bola sepak negara.

Faridzul berkata pihaknya menerusi Persatuan Bekas Atlet Kebangsaan telah menghantar surat berhubung perkara tersebut kepada FAM pada 2011, tetapi ditolak tanpa sebarang alasan.

Katanya pemain terbabit mahu berkongsi ilmu serta pengalaman yang ada dengan pemain generasi baharu bagi memeriahkan sukan bola sepak negara.

"FAM boleh melantik mereka sebagai Inspektor perlawanan bagi meninjau sama ada ada unsur rasuah dalam mana-mana perlawanan dengan pengalaman yang ada pada mereka.

"Mereka boleh cari pemain muda yang berpotensi untuk menggantikan pemain sedia ada dan boleh membantu FAM dalam menangani isu rasuah dalam kalanganpemain hari ini," kata Faridzul.

"Itu sahaja hasrat mereka untuk kembali dalam arena bola sepak kerana mereka ini adalah idola suatu ketika dahulu. Mereka juga mampu membantu FAM menyedarkan pemain muda yang berjinak-jinak dalam menjual perlawanan bagi mencari kekayaan pantas," katanya.

Beliau berkata mereka juga mahu mengembalikan kegemilangan bola sepak negara ini selepas arena bola sepak di negara ini mengalami kejatuhan dan ketandusan pemain tempatan yang hebat.

Katanya di Kedah seramai enam bekas pemain bola sepak dikenakan hukuman itu pada tahun 1994.
SHARE
  • Image
  • Image
  • Image
  • Image
  • Image
    Blogger Comment
    Facebook Comment