EURO 2016: Impak Pogba, Griezmann julang Perancis ke pusingan kalah mati


KUALA LUMPUR: Ketiadaan dua perancang utama Perancis, Paul Pogba dan Antoine Griezmann dalam kesebelasan utama nyata menyukarkan Les Bleus mencatat kemenangan ke atas Albania dalam perlawanan awal pagi tadi (waktu Malaysia).

Jurulatih Perancis, Didier Deschamps meletakkan Pogba dan Griezmann di bangku simpanan selepas mempamer aksi kurang memberangsangkan ketika menentang Romania pada perlawanan pembukaan di Paris.

Berdepan Albania, Deschamps mempertaruhkan pemain muda, Anthony Martial dan Kingsley Coman bagi mengisi posisi bintang Juventus dan Atletico Madrid itu, namun gagal memberikan impak apabila Perancis terpaksa menerima tentangan sengit Albania sehingga minit ke-90 perlawanan.

Griezmann menanduk masuk hantaran silang Adil Rami dari kanan padang, dilihat sudah cukup buat Perancis mengutip tiga mata penuh.

Bagaimanapun Dmitri Payet menjadikan kemenangan di Marseille lebih manis apabila sekali lagi tampil cemerlang dengan merembat rendah bola ke sudut kanan gol menewaskan Etrit Berisha pada minit kelima masa kecederaan.

Ia sekaligus menjadikan Perancis sebagai tuan rumah melangkah bergaya ke pusingan kalah mati apabila Switzerland sekadar mencatat keputusan seri dengan Romania dalam satu lagi saingan kumpulan A.

Switzerland terpaksa berpuas hati mengutip satu mata daripada perlawanan di Paris selepas terpaksa bangkit dari ketinggalan satu gol.

Romania dihadiahkan sepakan penalti selepas baju pemain sayap, Alexandru Chipciu ditarik kapten Switzerland, Stephan Lichsteiner dan Bogdan Stancu meletakkan Romania di depan pada minit ke-18 walaupun tergelincir ketika melakukan sepakan.

Babak kedua menyaksikan permainan didominasi Switzerland, akhirnya menemui gol penyamaan pada minit ke-57 hasil rembatan kencang Admir Mehmedi.

Kedudukan 1-1 kekal hingga tamat permainan dan memberikan mata pertama buat Romania dalam kejohanan kali ini.

Sementara bagi aksi kumpulan B menyaksikan Slovakia garang menundukkan Rusia apabila dua gol dijaringkan pada babak pertama, menjadikannya kemenangan pertama dalam sejarah penyertaanya.

Permainan dikawal Slovakia, bagaimanapun Rusia hampir membuka tirai jaringan menerusi tampanan jarak dekat Artem Dzyuba tetapi berjaya ditampan penjaga gol Slovakia, Matus Kozacik dan rembatan leret Fedor Smolov ke kanan gawang hanya beberapa inci tersasar.

Vladimir Weiss menyentak semangat Rusia apabila menyempurnakan hantaran cantik Marek Hamsik dari tengah padang untuk Slovakia di depan pada minit ke-32.
Hamsik sekali lagi mempamer kehebatan, menggelecek dua pertahanan Rusia sebelum merembat bola dari kiri padang menewaskan Igor Akinfeev sebelum wisel penutup babak pertama dibunyikan.

Hanya sepuluh minit sebelum tamat, Denis Glushakov merapatkan kedudukan namun nyata terlewat untuk Rusia sekurang-kurangnya mengutip satu mata di Lille.

Keputusan akhir, Slovakia 2-1 Rusia.

SHARE
  • Image
  • Image
  • Image
  • Image
  • Image
    Blogger Comment
    Facebook Comment