Skuad Euro 2016 - Republik Czech


PRAGUE: Pengendali Republic Czech, Pavel Vrba awal pagi tadi menamakan senarai 23 pemain untuk Euro 2016 di Perancis, diterajui oleh penjaga gol Arsenal Petr Cech dan perancang tengah Tomas Rosicky yang juga kapten pasukan negara Eropah Tengah itu.

Vrba bagaimanapun, berkata dia terpaksa menghantar pulang tonggak tengah Sparta Prague Lukas Marecek dan penyerang Patrik Schick (Bohemians Prague) selepas mengecilkan skuadnya kepada 23 berbanding 25 pemain di kem latihan pusat di Austria.

Bekas penjaga gol Chelsea berusia 34 tahun, Cech muncul pemain paling berpengalaman dalam skuad terbabit selepas mengecapi penampilan ke-119 ketika menentang Malta minggu lalu untuk merakam rekod terkini Czech.

Rosicky yang sudah pun mencecah usia 35 tahun hanya beraksi selama 19 minit untuk Arsenal musim ini kerana masalah kecederaan yang terus menghantuinya tetapi sempat pulih pada masanya untuk kempen Euro 2016. Rosicky akan meninggalkan Arsenal pada musim panas ini sebaik kontraknya tamat.

Czech bakal mempersiapkan diri dengan perlawanan persahabatan menentang Russia di Austria malam ini dan bertemu Korea Selatan di Prague pada Ahad ini dalam aksi terakhir sebelum memulakan kempen kejohanan Eropah menentang Sepanyol di Toulouse pada 13 Jun ini.

Mereka yang akan terbang ke Perancis pada 8 Jun ini, turut diundi bertemu Croatia dan Turki dalam aksi Kumpulan D. - AFP

Skuad 23 pemain Republik Czech

Penjaga Gol: Petr Cech (Arsenal), Tomas Vaclik (Basel), Tomas Koubek (Sparta Prague) Pertahanan: Theodor Gebre Selassie (Werder Bremen), Pavel Kaderabek (Hoffenheim), David Limbersky (Viktoria Pilsen), Marek Suchy (Basel), Michal Kadlec (Sparta Prague), Tomas Sivok (Bursaspor), Roman Hubnik (Viktoria Pilsen), Daniel Pudil (Sheffield Wednesday)

Tengah: Borek Dockal (Sparta Prague), Jiri Skalak (Brighton), Vladimir Darida (Hertha Berlin), Daniel Kolar (Viktoria Pilsen), Ladislav Krejci (Sparta Prague), Josef Sural (Sparta Prague), David Pavelka (Kasimpasa), Jaroslav Plasil (Bordeaux), Tomas Rosicky (Arsenal)

Penyerang: Milan Skoda (Slavia Prague), Tomas Necid (Bursaspor), David Lafata (Sparta Prague)
SHARE
  • Image
  • Image
  • Image
  • Image
  • Image
    Blogger Comment
    Facebook Comment